Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 2-3 bermaksud:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “ Kami beriman”, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang dikehendakiNya tentang orang-orang yang berdusta.
Warna yang sering menghiasai ruang kehidupan kita ialah kenikmatan dan ujian. Datangnya silih berganti tanpa henti. Ujian…kenikmatan…kenikmatan…ujian…begitulah putarannya. Hanya insan yang benar-benar menggunakan mata hati akan memandang ujian sebagai kenikmatan dan kenikmatan sebagai ujian.
Ada sebuah kisah diceritakan dalam sebuah kampung tinggal seorang ibu tunggal bersama beberapa orang anaknya yang masih kecil. Kehidupan mereka serba sederhana namun bahagia dengan kasih sayang dan perhatian daripada si ibu. Masa lapang digunakan oleh si ibu untuk membuat sulaman kain.
Setiap kali anaknya memandang si ibu dari bawah papan sulaman kain itu pasti si anak ternampak betapa banyaknya simpulan benang. Si anak sering bertanya “ duhai ibuku, apakah yang sedang ibu lakukan? Saya melihat tidak lain yang ibu hasilkan melainkan simpulan benang yang amat sukar dirungkaikan. Lantas si ibu menjawab, “ sabar anakku, setelah selesai kerja ibu ini, akan ibu tunjukkan hasilnya padamu”….
Masa berlalu dengan pantas sekali. Akhirnya kerja sulaman si ibu siap dengan sempurnanya. Si ibu memangggil semua anak-anaknya dan menunjukkan hasil sulaman yang telah siap itu. Terlihat sebuah pemandangan yang cantik dan gambaran sebuah kehidupan yang indah. Alangkah terkejutnya si anak dengan hasil kerja itu kerana selama ini dia memandang dari bawah sahaja dan cuma melihat simpulan benang yang tidak bermakna.
Si ibu pun menjelaskan kepada anak-anaknya bahawa semua yang berlaku itu seperti kehidupan yang mereka lalui. Papan sulaman itu ibarat hari-hari yang kita lalui dan kita sulamkan perjalanan hidup kita seperti benang yang disulamkan di atas kain ini. Takdir hidup kita sering kita lihat dari kaca mata kita seperti hasil di bawah papan sulaman yang penuh dengan kekusutan benang yang sukar dirungkaikan. Manakala hasil sulaman yang indah dan cantik diumpamakan seperti perancangan terbaik Allah rencanakan buat kita hanya bisa terlihat dari pandangan atas atau mata hati yang paling dalam.
Moralnya, pandanglah setiap yang mendatangi kita dengan mata hati dan yang terbaik dari Allah buat kita. Biarpun adakalanya mata kasar kita memandang ia sebagi ujian yang sukar untuk didepani tetapi yakinlah natijah akhirnya pasti terbaik. Jangan sesekali berprasangka buruk dengan Allah kerana Allah telah kita merancang, Allah juga merancang tetapi perancangan Allah juga yang sebaik-baik perancangan.
No comments:
Post a Comment