September 25, 2011

~ Contengan ~


Indahnya sebuah kenikmatan kadang-kala membuatkan kita semakin leka dan jauh dari rahmat Tuhan. Tika saatnya ujian mendatang hati kita akan lebih mudah untuk tunduk sujud merayu dan merintih padaNya. Yakinlah dan pasakkan dalam hati sedikit ujian ini tanda Allah ingin kita semakin hampir padaNya dan tidak pernah cuba untuk menjauh dariNya. Bukan Allah tidak tahu apa yang kita mahu, bukan Allah tidak memahami apa yang tersirat dalam sanubari. Allah itu Maha Tahu dan Maha Memahami.

“Janganlah kerana kelambatan masa pemberian Tuhan kepada kamu, padahal kamu telah bersungguh-sungguh berdoa, membuat kamu berputus asa, sebab Allah menjamin untuk menerima semua doa, menurut apa yang dipilih-Nya untuk kamu, tidak menurut kehendak kamu, dan pada waktu yang ditentukan-Nya, tidak pada waktu yang kamu tentukan”

Al-Hikam :6

Sabar...sabar...dan sabar dalam penantian ini. Setiap kesabaran dalam penantian itu ada ganjaran pahala yang menanti. Usah khuatir pada sesuatu yang masih menjadi rahsiaNya. Akan tiba juga saatnya kita memahami setiap makna penantian itu PERLU untuk kita nikmati. Ini mungkin tarbiyyah dariNya buat kita agar kita benar-benar bergantung padaNya. Biarpun tarbiyyah itu bukan segalanya tapi segalanya itu adalah tarbiyyah buat kita.

Kita ini hanya manusia biasa yang dianugerahkan sekeping hati yang memiliki berjuta rasa. Rasa-rasa itu ibarat pelangi yang akan mewarnai lukisan perjalanan riwayat hidup kita. Tak usah kita menafikan fitrah yang diberi ia lebih indah jika kita menghargai. Cuba kita renungkan perjalanan hidup kita hanya tenang sahaja setiap hari, indah tak?Ya, mungkin mendamaikan tapi jika hari-hari macam tu best ke? Atau lebih seronok jika hari-hari yang kita lalui ibarat ombak di pantai. Ada masanya bergelora, ada masanya tenang dan ada masanya bersahaja di pantai. Ketuklah hati terokailah pilihan sendiri hehe...(setiap insan tidak sama).

Pastikah kita akan bahagia dengan apa-apa pun yang kita pilih di atas setiap pilihan yang kita ada? Mungkin bahagia dan mungkin juga tidak. Jika ingin bahagia kenali dan carilah dari sumbernya. Kita hanya mampu untuk berusaha selebihnya serahkan pada yang berkuasa. Takdir itu berada dipenghujung setiap usaha dan doa. Kuatkan kaki untuk terus melangkah dan melangkah biarpun sesekali kita rebah bukan beerti kita pasrah. Sekadar berehat memulihkan jiwa yang lemah sebelum bangkit kembali dengan lebih tabah.

catatan : Telah cuba untuk memahami walaupun diri masih belum mampu memahami. Berusaha untuk menjadi yang terbaik biarpun diri bukan lah yang terbaik. Maafkan atas setiap kekurangan.....

No comments: