November 30, 2010

Buku Travelog Syahadah



Sesungguhnya hati ini milik Allah dan ia sering berbolak balik. Adakalanya terasa terlalu tegar untuk melangkah namun tika diuji lemahnya hati hanya Dia yang mengerti. Tambahan pula kesibukan membuat persediaan menjelang final exam. Lantas aku membaca sebuah buku yang bertajuk “ Travelog Syahadah” karangan seorang muallaf yang kini sudah menjadi seorang pendakwah Islam. Beliau ialah Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah.

Buku ini menceritakan kisah hidup beliau sepanjang perjalanan sebelum memeluk Islam dan sehingga beliau memeluk Islam. Kisah dimulai pengalaman beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Johor. Ketika usia baru menjangkau 16 tahun sanggup meninggalkan keluarga dan merantau jauh demi mencari perubahan dalam hidupnya.

Masyarakat kampung yang sering menghina dan boleh dikatakan beliau adalah mangsa keadaan. Di benci oleh ayah sendiri dan dilemparkan pelbagai fitnah bukan mudah buat dirinya untuk terus kekal di tanah kelahirannya.

Setibanya di Johor diberikan layanan yang baik dan mendapat pekerjaan yang juga selesa buat dirinya. Sangkanya panas hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari. Layanan yang diberikan semakin hari semakin teruk malahan, kebajikan mereka langsung diabaikan. Akhirnya, beliau dipertemukan dengan anggota polis dan menyelamatkan beliau dari terus menjadi hamba kepada majikan yang tidak berhati perut tersebut.

Seterusnya beliau berhijrah pula ke Klang rumah abang beliau. Di sana pelbagai lagi cabaran besar yang hadapi oleh beliau. Pelbagai pekerjaan beliau lakukan. Kenalannya juga semakin bertambah. Perkenalan beliau bersama Abang Rosli membawa seribu satu hikmah. Daripada membaca buku-buku agama milik abang Rosli sehinggalah kalimah di dalam buku tersebut membantunya ketika di dalam penjara.

Kalimah “Allahu Akhbar” yang diucapkan menjadi penyelamatkan dirinya dan menimbulkan pelbagai persoalan dalam dirinya. Bukan satu peristiwa pelik sahaja yang dilaluinya apabila mengucapkan kalimah-kalimah agung di dalam Islam tetapi banyak lagi yang ditemuinya. Apabila hatinya telah tertarik untuk memeluk Islam tetapi niatnya terhenti kerana layanan yang diterima. Kekecewaan ini membuatkan hasrat memeluk Islam pudar dan beliau kembali taat kepada agama asalnya.

Namun, hidayah itu milik Allah walaupun pelbagai onak duri di tempuhi Allah tetap memilih dirinya untuk bersama Islam. Pernah kecewa ditinggal kekasih dan cuba menjadikan arak penguat diri tetapi dengan kuasa Allah, bukan arak yang penenang sebaliknya, suara azan subuh. Belajar mendalami Islam dengan berpuasa di bulan ramadhan, memiliki keluarga angkat dan berkhatan antara persediaan awal dirinya memeluk Islam.

Akhirnya, di bumi barakah Kelantan Darul Naim beliau dipermudahkan untuk melafazkan kalimah syahadah. Sedari awal beliau telah berniat untuk mendalami Islam dan mengajarkannya kepada orang lain. Niat murni tersbeut akhirnya terkabul setelah 7 tahun mendalami Islam. Alhamdulillah…

Buku ini dapat memberi kekuatan untuk kita lebih menghargai nikmat Islam dan Iman yang kita miliki sejak lahir. Kita tidak bersusah payah, berhijrah dan dipandang serong dalam usaha mendapatkan hidayah dan nikmat tersebut. Nikmat terbesar itu diberikan secara pecuma. Namun, sejauh mana kita benar-benar menghayati dan menjadikan menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Seorang saudara yang baru 7 tahun memeluk Islam telah mampu menyampaikan dakwah. Niat untuk berdakwah hadir dalam dirinya setelah melafazkan syahadah buat pertama kalinya. Tetapi kita adakah pernah terlintas untuk berdakwah??? Sesetengah antara kita tidak pernah memikirkan soal berdakwah malahan, Islam yang dimiliki tidak langsung dihargai.

Kekuatan yang ada dalam diri beliau dapat membuatkan pembaca tetap terus berusaha dalam mencapai cita-cita. Memudahkanlah cara orang lain insya’Allah urusan kita juga dipermudahkan. Kebergantungan kepada Allah adalah sebenar-benar sumber kekuatan. Hanya kepercayaan dan keyakinan yang mampu merealisikan impian menjadi kenyataan. kepada yg belum membaca selamat membaca...

1 comment:

♥ HeRWaNa HeRMan ♥ said...

alhamdulillah wana dah baca buku ni ka..
hehehe...
best...